Akhirnya Dr Jeffrey kalahkan abangnya di Tambunan
KOTA KINABALU, 10 Mei (Bernama) -- Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) berjaya mengalahkan abangnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (BN-PBS) dalam pertandingan empat penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Dalam percubaan pertama Dr Jeffrey berdepan abangnya di kawasan DUN Tambunan, beliau mengalahkan Pairin dengan majoriti 1,037 undi. Dr Jeffrey memperoleh 6,136 undi berbanding Pairin 5,099 undi.
Calon lain dalam pertandingan empat penjuru berkenaan ialah Justin Alip daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang memperoleh 1,427 undi manakala calon Parti Cinta Sabah (PCS) Nestor Joannes memperoleh 456 undi.
Pada PRU13, Dr Jeffrey mencabar abangnya di kawasan Parlimen Keningau dalam pertandingan tiga penjuru namun kalah kepada Pairin yang memperoleh majoriti 3,918 undi.
Pairin,77, menjadi wakil rakyat DUN Tambunan selama 42 tahun sejak memenangi kerusi itu pada tahun 1976.
Pada PRU13, Pairin memenangi kerusi DUN Tambunan dengan majoriti 2,079 undi dalam pertandingan lima penjuru.
-- BERNAMA