BN berjaya tubuh kerajaan di Pahang
KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Pahang membentuk kerajaan negeri apabila memperoleh majoriti mudah selepas menang 25 daripada 42 kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat pukul 1.45 pagi ini.
BN menang di DUN Jelai, DUN Padang Tengku, DUN Cheka, DUN Benta, DUN Dong, DUN Pulau Tawar, DUN Inderapura, DUN Lepar, DUN Sungai Lembing, DUN Pulau Manis, DUN Peramu Jaya, DUN Bebar, DUN Chini, DUN Kuala Sentul, DUN Jenderak, DUN Kerdau, DUN Lanchang, DUN Kuala Semantan, DUN Pelangai, DUN Guai, DUN Kemayan, DUN Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah, DUN Tioman dan Batu Talam.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob mengekalkan kemenangannya di DUN Pelangai bagi penggal kelapan berturut-turut apabila memperoleh majoriti 2,312 undi, menewaskan calon PKR Nor Haizan Abu Hasan yang memperoleh 3,098 undi manakala calon PAS Zaharin Osman sebanyak 1,817 undi.
Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Mohamad Sharkar Shamsuddin juga mengekalkan DUN Lanchang apabila memperoleh majoiriti 3,725 undi, menewaskan calon PKR Abas Awang yang memperoleh 5,099 undi, calon Bebas Mohd Khaidir Ahmad (80 undi - hilang deposit) dan calon PAS Hasan Omar (4,836 undi).
Pada PRU kali ini, BN kehilangan DUN Luit, DUN Chenor, DUN Jengka, DUN Panching, DUN Tahan dan DUN Damak kepada PAS, namun merampas DUN Kuala Semantan daripada Amanah yang dimenangi sebelum ini menerusi Syed Hamid Syed Mohamed.
PKR mengekalkan penguasaan di DUN Semambu, dan DUN Teruntum, manakala DAP mengekalkan DUN Tanah Rata, DUN Bilut, DUN Ketari, Dun Sabai, DUN Triang dan DUN Tras.
Pada PRU13 lepas, BN memenangi 30 daripada 42 kerusi DUN di Pahang, manakala DAP (tujuh), PKR (dua), PAS (dua), Amanah (satu).
Bagi kawasan Parlimen, BN Pahang menang sembilan daripada 14 kawasan parlimen di negeri itu.
Paling mengejutkan Presiden MCA yang juga penyandang Parlimen Bentong, tewas kepada calon PKR Wong Tack.
-- BERNAMA