SPR tidak selindung maklumat - Pengerusi SPR





PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cuba selindung atau melewatkan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

"Apa yang tular di luar adalah keputusan tidak rasmi, mungkin diterima daripada ejen-ejen parti yang bertugas dalam tempat mengundi. Tetapi bagi SPR, kita perlu sebarkan keputusan rasmi, keputusan yang telah disahkan. Jadi jangan bimbang kerana kita tidak ada apa-apa muslihat.

"Sebaik sahaja kita terima (keputusan pilihan raya), cukup 222 bagi Parlimen dan cukup 505 bagi DUN kita akan terus buat pengistiharan," kata Mohd Hashim dalam sidang media khas di Menara SPR di sini, hari ini.

Menurut beliau sehingga kini SPR masih lagi menerima keputusan-keputusan dari negeri-negeri dan juga daripada ketua pusat mengundi dan pegawai pengurus pilihan raya.

"Sudah tentu di luar sana, rakyat sudah menunggu akan perkara ini (pengumuman keputusan), bagaimanapun bagi sedikit masa kepada kita (SPR) untuk membuat pengumuman rasmi setelah semua keputusan telahpun disahkan dan tidak ada lagi keputusan yang tidak rasmi.

"...Memandangkan kita adalah badan yang bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan pilihan raya bererti segala keputusan yang kita keluarkan itu adalah keputusan rasmi," katanya.

Sementara itu mengenai jumlah peratusan pengundi yang keluar mengundi pula, direkodkan sejumlah 76 peratus pengundi keluar mengundi dalam tempoh mengundi pada 9 Mei.

-- BERNAMA