Mukhriz menang Parlimen Jerlun
JERLUN, 10 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bertanding atas tiket PKR-PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menang di kerusi Parlimen Jerlun dengan majoriti 5,866 undi.
Beliau yang memperoleh 18,695 undi, menewaskan penyandang kerusi itu, Datuk Othman Aziz (BN) yang mendapat 12,413 undi, manakala Abd Ghani Ahmad (PAS) meraih 12,829 undi.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jerlun, Mohamad Subhi Abdullah di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini, sebentar tadi.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said daripada PKR-Amanah berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,467 undi.
Dr Salmee menewaskan calon baharu Ahmad Azhar Abdullah (BN) yang gagal mempertahankan kubu kuat BN itu setelah hanya memperoleh 5,795 undi, manakala Mat Rejab Md Akhir (PAS) mendapat 5,798 undi.
Sementara itu, kerusi DUN Ayer Hitam yang disandang Mukhriz, dimenangi Azhar Ibrahim daripada PAS dengan majoriti 537 undi.
Beliau mengalahkan Datuk A Aziz Mohamod (PKR-PPBM) yang memperoleh 8,692 undi dan Datuk Abu Hasan Sarif (BN) yang meraih 7,220 undi.
-- BERNAMA