PRU14: PH kuasai Negeri Sembilan





SEREMBAN, 10 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) buat julung kali menguasai Negeri Sembilan apabila memenangi 20 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menggunakan logo PKR pada PRU14 kali ini, PH berjaya mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenanginya pada PRU13 lepas iaitu Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya (nama asal Senawang), Lukut dan Repah.

PKR menambah tiga lagi kerusi baharu iaitu Pilah, Ampangan dan Labu selain mengekalkan dua kerusi sedia ada - Sikamat dan Chuah, manakala Amanah menguasai tiga kerusi iaitu Klawang, Lenggeng dan Paroi, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun pada sidang media di sini.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat selama tiga penggal sejak 2008, berkata PH juga memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen di negeri ini.

"Kita dapat kekalkan kerusi Parlimen Seremban, Rasah, Port Dickson dan dua kerusi tambahan baharu iaitu Jempol dan Kuala Pilah," katanya.

Ditanya mengenai calon menteri besar, Aminuddin berkata perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi dalam tempoh terdekat.

"Buat masa sekarang, kita akan cuba mengatur pertemuan dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, dalam tempoh terdekat untuk memaklumkan penubuhan kerajaan," katanya.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat pukul 1.55 pagi ini, Barisan Nasional (BN) menguasai 16 kerusi DUN manakala PAS gagal meraih sebarang kerusi.

BN kehilangan enam kerusi (DUN) berbanding 22 kerusi yang dimenanginya pada PRU13.

Selain itu, BN mengekalkan tiga kerusi Parlimen iaitu Jelebu, Jempol dan Rembau.

-- BERNAMA