Presiden MCA gagal pertahan Parlimen Bentong
BENTONG, 10 Mei (Bernama) -- Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai gagal mempertahankan kerusi Parlimen Bentong untuk penggal kelima apabila tewas dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pada keputusan rasmi yang diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Azhar Arshad di sini malam ini, Liow yang mewakili Barisan Nasional (BN), tewas kepada calon PKR-DAP, Wong Tack, yang merupakan aktivis alam sekitar, dengan majoriti 2,032 undi.
Liow, yang juga Menteri Pengangkutan, memperoleh 23,684 undi, Wong Tack (25,716) dan calon PAS, N. Balasubramaniam memperoleh 5,706 undi.
Keputusan rasmi itu diumumkan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU14 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad di sini.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk penggal kelapan sejak tahun 1986 dengan majoriti 2,312 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Adnan memperoleh 5,410 undi diikuti calon PKR-Amanah, Nor Haizan Abu Hassan (3,098) dan calon PAS, Zaharim Osman memperoleh 1,817 undi.
Tiga lagi kerusi DUN di bawah Parlimen Bentong, iaitu Ketari, Bilut dan Sabai dimenangi oleh PKR dengan semuanya calon dari DAP.
DUN Ketari dimenangi personaliti DAP, Young Syefura Othman yang memperoleh majoriti 3,710 undi dalam persaingan tiga penjuru.
Young Syefura memperoleh 9,873 undi, calon BN, Datuk Lau Hoi Keong (6,163) dan calon PAS, Rosland Md Desa mendapat 3,260 undi.
Di DUN Sabai, Kamache Doray Rajoo (PKR-DAP) memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 495 undi apabila memperoleh 4,374 undi, diikuti calon BN, Datuk R. Goonasakaren (3,879), calon PAS, Mohd Khairuddin Abdullah (1,308) dan 145 undi oleh Calon Bebas, T. Karunaneethi.
Bagi DUN Bilut, Lee Chin Chen (PKR-DAP) menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh majoriti 3,739 undi.
Beliau memperoleh 8,798 undi, diikuti calon BN, Poo Mun Hong (5,059), calon PAS, Mohd Zamri Nong yang memperoleh 1,944 undi.
-- BERNAMA