BN gagal pertahan Parlimen Kubang Pasu dan Dua DUN
KUBANG PASU, 10 Mei (Bernama) -- Parlimen Kubang Pasu yang dikuasai Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama kini beralih tangan apabila ia dimenangi calon PKR Datuk Ir. Amiruddin Hamzah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penyandang kerusi Parlimen Kubang Pasu Datuk Seri Johari Baharum (BN), yang memperoleh 16,975 undi, gagal mempertahankan kerusi itu selepas tewas kepada Amiruddin dengan majoriti 13,009 undi apabila memperoleh 29,984 undi.
Amiruddin turut menewaskan calon PAS Norhafiza Fadzil (PAS) yang mendapat 13,375 undi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kubang Pasu Mohd Fisol Md Noh mengumumkan keputusan itu di pusat penjumlahan undi di Dewan Tunku Anum Pejabat Daerah Kubang Pasu di sini, pagi ini.
Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kubang Pasu iaitu Bukit Kayu Hitam dan Jitra turut menyaksikan kemenangan calon PKR.
Bagi kerusi DUN Bukit Kayu Hitam, Halimathon Shaadiah Saad (PKR-PPBM), yang meraih 11,027 undi, menewaskan penyandang kerusi itu Datuk Ahmad Zaini Japar (BN) dan calon PAS Habshah Bakar dengan majoriti 2,153.
Ahmad Zaini dan Habshah masing-masing memperoleh 8,874 undi dan 6,528 undi.
Di DUN Jitra, penyandangnya Datuk Aminuddin Omar (BN) tewas kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (PKR-PPBM) dengan majoriti 10,849 undi selepas mendapat 18,852 undi.
Selain menewaskan Amiruddin yang mendapat 8,003 undi, Mukhriz turut mengalahkan calon PAS Zulhazmi Osman yang mendapat 7,064 undi.
Seramai 61,452 pemilih berdaftar di Parlimen Kubang Pasu mengundi pada pilihan raya itu.
-- BERNAMA