BN Sarawak peroleh 19 kerusi parlimen, kurang enam berbanding PRU13




KUCHING, 10 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) memperoleh 19 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14, kurang enam kerusi berbanding PRU13, manakala DAP menambah satu kerusi menjadi enam dan PKR menokok tiga kerusi menjadi empat.

Daripada 19 kerusi BN itu, PBB memenangi 13 kerusi, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kekal dengan keputusan mengecewakan apabila kalah enam daripada tujuh kerusi yang ditandinginya, Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang tiga daripada enam yang dimilikinya sebelum ini, dan Parti Demokratik Progresif (PDP) dua.

Kekalahan satu kerusi Parlimen oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di Puncak Borneo amat mengejutkan kerana parti itu tidak pernah kalah biar satu kerusi sekalipun sejak 30 tahun, walaupun PRU ini menyaksikan ia menang 13 kerusi.

Keseluruhan keputusan di Sarawak sememangnya amat mengejutkan kerana ia dilihat tersasar daripada jangkaan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang begitu yakin dengan keupayaan BN negeri untuk menambah kerusi Parlimen daripada 25 pada PRU13, kepada 28 pada PRU ini.

Pertandingan paling sengit pastinya terarah kepada pertembungan satu lawan satu antara Pengerusi DAP Chong Chieng Jen dengan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian, yang akhirnya menyaksikan Dr Sim tewas, dan kini SUPP hanya mengekalkan satu kerusi di Serian yang dimenangi Datuk Seri Richard Riot.

Hanya beberapa hari sebelum hari penamaan calon, PRS mengambil langkah drastik memecat dua anggota Parlimennya di Selangau dan Lubok Antu, dan natijahnya menyaksikan parti itu tumbang di kedua-dua kawasan berkenaan.

Satu lagi kerusi yang terlepas oleh PRS ialah kerusi Parlimen Julau yang menyaksikan Setiausaha Agungnya Datuk Joseph Salang Gandum, mewakili kawasan Parlimen itu selama empat penggal, kalah kepada calon Bebas Larry Sng Wei Shien, bekas anggota PRS.

PDP pula kalah mengejut di kawasan Parlimen Mas Gading, dan satu lagi di kawasan Parlimen Saratok, yang sebelum ini diwakili Tan Sri William Mawan Ikom, sebelum beliau bertindak keluar parti dan menubuhkan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), namun kembali sebagai calon 'tanpa parti' untuk bertanding atas tiket BN pada pilihan raya negeri lalu.

Sementara itu melihat kepada beberapa laporan media tempatan mengenai pelbagai isu yang dikaitkan dengan Genot @ Jeannoth Sinel, kekalahan PBB di Puncak Borneo boleh disimpulkan berpunca daripada pemilihan calon yang tidak tepat.

Keputusan hari ini memberikan tamparan hebat kepada Abang Johari, yang baru pertama kali menerajui BN Sarawak untuk menghadapi PRU, dengan melihat kepada keputusan lebih baik pada PRU13 di bawah teraju Ketua Menteri ketika itu Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Dipertua Negeri Sarawak).

PRU13 menyaksikan BN memperoleh 25 kerusi, berbanding DAP lima dan PKR satu.

Selepas tampuk kepimpinan negeri Sarawak berpindah kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, beliau berjaya mengukuhkan sokongan rakyat negeri pada pilihan raya negeri (PRN) 2016, apabila BN membolot 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya, berbanding 55 daripada 71 kerusi yang ditandinginya pada PRN 2011.

-- BERNAMA