Fuziah Salleh pertahan kerusi Parlimen Kuantan bagi penggal ketiga
KUANTAN, 10 Mei (Bernama) -- Sebagaimana dijangka, kerusi Parlimen Kuantan kekal menjadi milik PKR apabila penyandangnya Fuziah Salleh menang untuk penggal ketiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Fuziah yang memperoleh 22,807 undi, menang dengan majoriti 8,111 undi berbanding lawannya daripada PAS, Sulaiman Md Derus yang meraih 14,696 undi manakala calon BN, Wong Kean Hwee mendapat 13,767 undi.
Datuk Seri Shafik Fauzan daripada BN pula berjaya mempertahankan kerusi DUN Inderapura dengan majoriti 2,165 undi apabila memperoleh 5,568 undi, mengatasi lawannya daripada PAS, Wan Maseri Wan Mohd (3,403) dan Fakhrul Anuar Zulkawi daripada PKR (1,806).
Calon PAS di Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar juga mempertahankan kawasan itu dengan majoriti 1,339 undi apabila memperoleh 8,198 undi, menewaskan calon BN, Datuk Zulkifly Tengku Ahmad (6,859) dan Sabrina Md Yusoff daripada PAS (5,622).
Penyandang DUN Teruntum daripada PKR, Sim Chom Siang juga menang apabila memperoleh majoriti 7,725 undi setelah memperoleh 12,227 undi, mengalahkan lawannya daripada BN, Tee Choon Ser (4,502) dan Azizah Mohd Ali daripada PAS (3,039).
Keputusan tersebut diumumkan Pengurus Pilihan Raya Kuantan, Datuk Fadzilla Salleh.
-- BERNAMA