PAS bentuk kerajaan negeri di Terengganu




KUALA TERENGGANU, 10 Mei -- PAS berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu apabila memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) semalam.

Dua puluh dua DUN yang dimenangi ialah Air Putih; Kemasik; Chukai; Sura; Rantau Abang; Paka; Bukit Payong; Pengkalan Berangan; Rhu Rendang; Alor Limbat; Ajil; Manir, Kuala Berang; Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang, Batu Buruk, Tepuh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Kota Putera dan Jabi.

Barisan Nasional pula menang baki 10 kerusi di Kijal, Langkap, Telemong, Hulu Besut, Kuala Besut, Jerteh, Batu Rakit, Seberang Takir, Permaisuri dan Bukit Besi.

PKR yang bertanding di semua 32 kawasan DUN pula gagal memenangi walau satu kerusi malah kehilangan DUN Bandar yang dimenangi sebelum ini kepada PAS.

PRU kali ini bukan sahaja menyaksikan keputusan luar jangka terhadap calon popular di negeri ini tetapi juga di beberapa kawasan DUN yang dikuasai BN buat sekian lama, turut dirampas PAS.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada Che Alias Hamid dengan majoriti 2,163 manakala malah satu lagi kerusi parlimen, Setiu jatuh ke tangan PAS apabila calon BN, Datuk Mohamad Jidin Shafie kalah pada Shaharizukirnain Abd Kadir dengan majoriti 2,802 undi.



DUN Ajil dan DUN Air Putih yang menjadi kubu kuat BN sejak beberapa penggal juga terlepas ke tangan PAS.



Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri Terengganu Datuk Husain Awang ketika berucap di hadapan ribuan penyokong sempat menasihatkan rakyat supaya menerima kemenangan dengan tawadduk dan tidak berlebih-lebihan dengan menghina lawan yang kalah.

Beliau juga yang tidak membenarkan penyokong terutama golongan muda berarak sejak lewat malam tadi serta perlu bersabar kerana sambutan kemenangan akan tetap diadakan selepas pihaknya membuat perbincangan.

Manakala Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempertahankan kerusi Parlimen Marang mengumumkan cuti umum pada Khamis sempena kemenangan itu.

Bagaimanapun ketika ditanya pemberita tentang calon Menteri Besar, Abdul Hadi hanya menyatakan: "Itu (calon menteri besar) ada dalam hati saya."

Dalam pada itu, berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan dan UMNO, beliau berkata masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

"Terlalu awal untuk membuat keputusan kerana kita akan menilai apa polisi dan dasar mereka. Kemungkinan ya atau tidak kita akan buat penilaian dan tengok apa tawaran mereka," katanya.

--

BERNAMA