Negeri kelahiran UMNO akhirnya tumbang




JOHOR BAHRU, 10 Mei (Bernama) -- Johor, negeri kelahiran UMNO akhirnya tumbang kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah hanya memenangi 19 kerusi daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

Pengerusi BN Johor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tewas di kawasan Parlimen Pasir Gudang dan gagal mempertahankan kerusi DUN Permas.

Presiden MIC yang juga penyandang kerusi Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr S Subramaniam turut menerima nasib sama apabila tewas kepada Datuk Seri R. Santhara Kumar daripada PKR.

Dr Subramaniam satu-satunya menteri Kabinet yang tidak mengikuti jejak tiga rakan seperjuangannya iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien (Sembrong), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang) dan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) yang berjaya mempertahankan kerusi masing masing.

PRU14 turut menyaksikan lima Timbalan Menteri kalah kerusi masing-masing iaitu Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar), Datuk Chua Tee Yong (Labis), Datuk Nur Jazlan Mohamed (Pulai), Datuk Ir Hamim Samuri (Ledang), dan Datuk Abd Aziz Kaprawi (Sri Gading).

Sementara itu, dua lagi Timbalan Menteri Datuk Halimah Mohamed Sadique memenangi kerusi Parlimen Kota Tinggi dan Datuk Seri Ahmad Maslan kekal di Pontian.

Gergasi politik Tan Sri Shahrir Abdul Samad pula berjaya ditewaskan oleh strategis muda PKR Akmal Nasrullah Muhd Nasir bagi kerusi Parlimen Johor Bahru.

Daripada 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, BN hanya memenangi lapan kerusi iaitu Pengerang, Kota Tinggi, Mersing, Ayer Hitam, Parit Sulong, Pontian, Sembrong dan Tenggara.

Bagi kerusi negeri, Pakatan Harapan memenangi 36 kerusi, laluan selesa bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu manakala PAS memenangi satu kerusi sahaja.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang bertanding kerusi Parlimen Batu Pahat dan kawasan DUN Gambir serta Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husein di kawasan Parlimen Tebrau masing-masing hilang wang deposit.

Empat belas calon PAS yang bertanding kerusi Parlimen dan 36 di kawasan DUN turut kehilangan wang deposit masing-masing.

Lima calon Bebas bertanding kerusi Parlimen dan DUN turut kalah dan hilang wang deposit.

Sementara itu, Subramaniam yang ditemui di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Segamat berkata kekalahan BN mungkin disebabkan oleh perubahan dalam pandangan rakyat serta gelombang nasional yang hanya bukan berlaku di Segamat sebaliknya di seluruh negara.

-- BERNAMA