Kerajaan negeri belum terbentuk di Perak
IPOH, 10 Mei (Bernama) -- Perak belum lagi dapat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 semalam berikutan tiada mana-mana parti yang bertanding mendapat majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Keputusan bagi 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, menyaksikan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada parti PKR, DAP, PPBM dan Amanah, menang 29 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) (27) dan PAS (tiga).
Pada sidang media di Putrajaya, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata pembentukan kerajaan negeri Perak perlu ditentukan sendiri oleh parti-parti terlibat.
PH yang menggunakan logo PKR memenangi kerusi DUN Jelapang, Pasir Bedamar, Pasir Pinji, Menglembu, Tebing Tinggi, Titi Serong, Kuala Kurau, Canning, Kamunting, Aulong, Tronoh, Pantai Remis, Astaka, Jalong, Pokok Asam, Pasir Panjang, Sungkai, Behrang, Chenderiang, Buntong, Bercham, Kepayang, Manjoi, Hulu Kinta, Malim Mawar, Keranji, Sungai Rapat, Simpang Pulai dan Teja.
BN pula memenangi kerusi DUN Rungkup, Bota, Hutan Melintang, Belanja, Sungai Manik, Kampung Gajah, Changkat Jong, Kota Tampan, Kenering, Batu Kurau, Chenderoh, Lubok Merbau, Alor Ponsu, Selinsing, Pangkalan Baharu, Lintang, Temengor, Pangkalan Hulu, Bukit Chandan, Manong, Pangkor, Slim, Ayer Kuning, Trong, Tualang Sekah, Changkat Jong dan Kuala Sepetang.
PAS menang di Gunong Semanggol, Selama dan Kubu Gajah.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempertahankan kerusi DUN Pangkor dengan mendapat 8,378 undi, menewaskan calon PKR, Nordin Ahmad Ismail (6,752 undi) dan calon PAS, Zainal Abidin Saad (3,638 undi).
Namun begitu, Zambry tewas di kawasan Parlimen Lumut apabila mendapat 21,555 undi, berbanding calon PKR, Dr Mohd Hatta Md Ramli yang memperolehi 21,955 undi manakala calon PAS, Mohd Zamri Ibrahim mendapat 10,135 undi.
Lebih mengejutkan tiga anggota exco kerajaan negeri kecundang iaitu Pengerusi MCA Perak yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Tanjong Malim Datuk Mah Hang Soon, Datuk Rusnah Kassim (DUN Behrang) dan Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (DUN Kamunting).
Sementara itu, bagi kerusi Parlimen, PH menang 13 kerusi manakala BN 11 kerusi.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang di kawasan Parlimen Bagan Datuk dengan majoriti 5,073 undi menewaskan Pakhrurrazi Arshad (PKR) yang memperoleh 13,836 undi dan calon PAS Ata Abdul Muneim Hasan Adli (4,061 undi).
Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu membuat kejutan sebagai muka baharu menewaskan penyandang lima penggal kerusi Parlimen Tambun iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang merupakan bekas Menteri Kewangan Kedua, dengan majoriti 5,320 undi.
Pada PRU12, BN memenangi 28 kerusi DUN manakala pakatan pembangkang menang 31 kerusi yang membolehkan pakatan membentuk kerajaan yang hanya bertahan selama 11 bulan sebelum BN mengambil alih pentadbiran apabila empat anggota DUN pakatan rakyat keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas yang mesra BN.
-- BERNAMA