Ini tsunami rakyat yang mahukan kerajaan baharu - Alice Lau
SIBU, 10 Mei (Bernama) -- Alice Lau Kiong Yieng daripada DAP yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Lanang menyifatkan kejayaan ?calon-calon Pakatan Harapan? dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini sebagai 'tsunami rakyat' yang mahu kerajaan baharu mentadbir.
Beliau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti besar 14,546 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Kelvin Kong Sien Chiu dan Priscilla Lau daripada parti Peace.
"Pada tahun 2013, (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kata tsunami Cina, tetapi kali ini ia adalah tsunami rakyat.
"Ini bukan kerana soal DAP, SUPP, Pakatan Harapan atau UMNO atau BN tetapi ini adalah tsunami rakyat yang mahu menyaksikan kerajaan baharu, harapan baharu dan perubahan untuk masa depan lebih cerah," katanya selepas diumumkan memenangi kerusi itu di Pusat Pejumlahan Undi SMK Methodist.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada para pengundi yang telah sekali lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka bagi satu penggal lagi.
Sementara itu, Kelvin semasa ditemui pemberita menyifatkan kegagalan merampas kerusi itu pada PRU14 ini adalah disebabkan tempias tsunami isu-isu nasional yang berlaku di semenanjung.
Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat pengundi dalam semangat demokrasi.
-- BERNAMA