Tiada parti boleh bentuk kerajaan negeri di Sabah
KOTA KINABALU, 10 Mei (Bernama) -- Tiada parti yang boleh membentuk kerajaan negeri secara bersendirian di Sabah berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan parti-parti berkenaan tidak mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.
Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya kurang satu kerusi untuk membolehkannya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula memenangi 21 kerusi manakala DAP dan PKR masing-masing memenangi enam dan dua kerusi.
Sekiranya Warisan, DAP serta PKR menjalinkan kerjasama, ia belum membolehkan parti-parti itu membentuk kerajaan kerana jumlahnya hanya 29 kerusi, kurang satu kerusi untuk mencapai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Oleh kerana BN dan Warisan serta dua rakan kerjasama Warisan (DAP dan PKR) masing-masing memiliki 29 kerusi, maka kedua-kedua parti memerlukan sokongan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) yang memiliki dua kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.
Sehingga ke saat ini, parti Solidariti pimpinan Datuk Dr Jefferey Kitingan belum menunjukkan pilihannya sama ada BN atau Warisan.
Difahamkan, Mohd Shafie akan mengadakan sidang berita pada 9 pagi ini di kediamannya mengenai langkah berikutnya yang akan diambi parti berkenaan.
Pencapaian BN menjunam kepada 29 kerusi DUN berbanding 48 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 manakala kerusi Parlimen yang dimenangi turut merosot kepada lebih separuh iaitu daripada 22 kerusi pada PRU13 kepada cuma 10 kerusi pada PRU14.
Malah, BN Sabah turut dikejutkan dengan kekalahan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kerusi DUN Tambunan manakala presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah Datuk Teo Chee Kang turut kecundang di DUN Tanjong Kapor.
Naib presiden parti Gerakan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Timbalan Pengerusi MCA Sabah Datuk Francis Goh turut kecundang di DUN Tanjong Papat dan DUN Kapayan.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua Perhubungan UMNO Sabah Tan Sri Musa Aman dapat mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga dengan majoriti 2,184 undi, yang merosot berbanding 11,569 undi pada PRU13.
Naib Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan pemangku presiden Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau maing-masing mempertahankan kerusi Parlimen Kota Marudu dan Parlimen Tuaran yang dimenangi pada PRU13.
Meskipun memenangi 22 kerusi DUN, bilangan itu tidak sampai separuh daripada keseluruhan 45 kerusi DUN yang ditandingi parti berkenaan.
Mohd Shafie sendiri berjaya memenangi kerusi DUN Senallang dengan mengalahkan Datuk Seri Nasir Tun Sakaran iaitu sepupunya sendiri dengan majoriti 5,301 selain mempertahankan kerusi Parlimen Semporna yang dimenanginya melalui tiket BN pada PRU13.
Pada PRU14, Warisan berjaya memenangi lapan kerusi Parlimen manakala PKR dan DAP masing-masing tiga dan Solidariti satu kerusi.
-- BERNAMA