Rina kalahkan Johari di Parlimen Titiwangsa




Oleh Nur Khalidah KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Calon PKR, Rina Mohd Harun memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa selepas mengalahkan penyandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani dari Barisan Nasional (BN) dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rina, yang merupakan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,139 undi, dengan mengetepikan Johari, bekas Menteri Kewangan II itu, dengana memperoleh 23,840 undi.

Johari pula memperoleh 19,701 undi manakala Mohammad Noor memperoleh 6,845 undi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa, Asiah Hussain mengumumkan kemenangan Rina pada jam11.20 malam tadi.

Rina, yang diwakili ibunya Taiyiba Rosli, 67, mengucapkan terima kasih kepada pengundi Titiwangsa kerana memberi kepercayaan kepada anaknya untuk mewakili suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Terima kasih kepada penduduk Titiwangsa yang bertungkus lumus bekerjasama tanpa mengira kaum dan agama untuk kejayaan ini," katanya pada pemberita selepas keputusan diumumkan.

-- BERNAMA