Pakatan Harapan kekal berkuasa di Selangor




SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kuasanya di Selangor dengan memenangi 29 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setakat pukul 1.55 pagi ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Othman Mahmood berkata kejayaan PH memenangi 29 kerusi membolehkan gabungan DAP, PKR, Amanah dan PPBM itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Sehingga pukul 4.20 pagi ini, keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh SPR menunjukkan PH memenangi 48 kerusi, sementara BN memenangi empat kerusi iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam serta Sungai Burong manakala PAS memenangi satu kerusi iaitu Sijangkang.

Pilihan raya kali ini menyaksikan BN kehilangan lapan daripada 12 kerusi DUN yang dimenangi pada PRU13 manakala PAS yang sebelum ini memutuskan untuk keluar daripada pakatan pembangkang hanya mampu memenangi satu berbanding 12 kerusi DUN yang dimenangi sebelum ini.

Bagi kerusi Parlimen, PH memenangi 20 dari 22 kerusi Parlimen sementara BN hanya mampu mengekalkan dua daripada lima kerusi yang dimenangi pada PRU13 iaitu Tanjong Karang dan Sabak Bernam.

-- BERNAMA