Noh kekal kerusi Parlimen Tanjong Karang
TANJONG KARANG, 10 Mei (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Tanjong Karang bagi penggal keenam pada persaingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Noh, yang juga bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang dengan majoriti 1,970 undi.
Noh memperolehi 17,596 undi untuk mengalahkan calon PKR, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (15,626 undi) dan calon PAS, Nor Az Azlan Ahmad memperolehi hanya 7,276 undi.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, calon BN, Datuk Mohd Shamsudin Lias turut mengekalkan kerusi itu untuk penggal keempat berturut-turut dengan majoriti 2,330 undi.
Mohd Shamsudin memperoleh 8, 741 undi manakala calon PAS, Mohd Mohd Zamri Mohd Zainuldin (6,411) dan 5,323 undi bagi calon PKR, Mohd Tarmizi Lazim.
Bagi DUN Permatang pula, calon PKR, Rozana Zainal Abidin merampas kerusi itu dengan majoriti 1,158 undi apabila memperoleh 9,208 undi, diikuti penyandang dan calon BN, Datuk Sulaiman Abdul Razak (8,050) dan calon PAS, Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud, 2,746 undi.
Pengumuman ketiga-tiga kerusi itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tanjong Karang, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor, kira-kira jam 1 pagi ini selepas selesai proses pengiraan kesemua kertas undi.
-- BERNAMA