Tiga timbalan ketua menteri, tujuh menteri dilantik dalam kabinet Sabah




KOTA KINABALU, 11 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman melantik tiga timbalan ketua menteri dan tujuh menteri di dalam kabinet baharu negeri Sabah.

Tiga timbalan ketua menteri dilantik terdiri daripada Datuk Dr Jeffery Kitingan merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Hajiji Mohd Noor merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Datuk Masidi Manjun merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.

Musa mengumumkan senarai nama kabinet negeri itu pada sidang akhbar di kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya di sini hari ini selepas menghadiri majlis angkat sumpah di Istana Negeri.

Tujuh lagi adalah Datuk Masiung Banah menjawat Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Bobbey Suan (Menteri Tugas-Tugas Khas) Datuk Ellron Alfred Angin (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Datuk Jahid Jahim (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan).

Datuk Bolkiah Ismail (Menteri Pembangunan Perindustrian), Datuk Musbah Jamli (Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat) dan Datuk Anita Baranting (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna).

Musa juga mengumumkan akan menamakan enam Anggota Dewan Undangan Negeri lantikan yang akan mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Rabu lepas, Barisan Nasional.Sabah memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dua wakil Parti Solidariti Tanah Airku (Star) kemudian bergabung dengan BN bagi membolehkan Kerajaan Negeri Sabah dibentuk.

-- BERNAMA