Beri laluan generasi muda terajui parti - Pemuda UMNO Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Mei (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu hari ini mendesak presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi laluan kepada pelapis baharu untuk menerajui kepimpinan parti itu.
Ketuanya Mohd Johari Abu Bakar berkata kepimpinan baharu terutamanya orang muda diperlukan bagi memastikan kelangsungan parti itu pada masa hadapan.
"Transformasi menyeluruh harus dilaksanakan agar UMNO dilihat lebih segar dengan kepimpinan baharu dan bangkit berjuang seiring dengan kehendak rakyat Malaysia.
"Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah permulaan baharu untuk Malaysia di mana suara keramat rakyat telah memilih perubahan yang cukup jelas dan nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Johari berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bermuhasabah sedalam-dalamnya sebelum membuka langkah baharu untuk kembali bangkit dan kekalahan dalam PRU kali ini adalah mesej yang jelas daripada rakyat untuk parti itu.
"Menuju ke hadapan, kita perlu menjadi gerakan politik yang lebih baik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain, kerana rakyat dan akar umbi adalah denyut nadi kita.
"BN juga perlu membuat pembaharuan dengan lebih berkesan serta pada masa sama menjadi pembangkang yang hebat dan berbisa," katanya.
-- BERNAMA