PBRS komponen ketiga tinggalkan BN Sabah
Sumber gambar: thesundaily.my
KENINGAU, 12 Mei (Bernama) -- Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) semalam, menjadikannya parti komponen BN Sabah yang ketiga berbuat demikian selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Rabu lalu.
Naib Presiden PBRS Vincent Lee ketika dihubungi Bernama berkata pengumuman mengenai parti itu meninggalkan BN dibuat oleh Presiden parti Tan Sri Joseph Kurup.
Katanya Majlis Tertinggi PBRS akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi mendapatkan pengesahan pucuk pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung perkara berkenaan.
"Semua ini untuk rakyat dan masa depan negeri Sabah," katanya.
Usaha menghubungi Kurup gagal, dipercayai sedang mengadakan persiapan untuk mesyuarat tergempar tersebut yang dijangka hari ini.
Pada PRU14, PBRS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sook dan kawasan Parlimen Pensiangan.
Sebelum ini, dua parti komponen BN Sabah iaitu UPKO dan LDP turut mengisytiharkan keluar BN.
-- BERNAMA