Amanah diberi untuk suarakan masalah, keperluan rakyat - Tuanku Muhriz




Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengurniakan surat cara pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Aminuddin Harun (kanan) pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti hari ini.

KUALA PILAH, 12 Mei (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mengingatkan semua wakil rakyat yang telah dipilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya menunaikan amanah yang diberikan untuk menyuarakan segala permasalahan dan keperluan rakyat.

Baginda bertitah amanah yang diberikan tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan sendiri kerana menyalahgunakan kuasa dan kedudukan yang ada akan menjurus kepada ketidakadilan serta kerapuhan pelaksanaan dasar yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat.

"Justeru, fokus dan keutamaan kamu adalah kepada kepentingan dan perkhidmatan untuk rakyat negeri ini serta negara. Kamu perlu sedar bahawa kesetiaan utama kamu ialah untuk negeri dan negara, bukannya kepada mana-mana parti politik."

"Di samping itu, kamu juga hendaklah melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira fahaman politik, warna kulit mahupun pegangan agama. Negara ini amat memerlukan pemimpin yang beramanah tinggi, bermaruah tinggi dan berpendirian tinggi," titah baginda.

Tuanku Muhriz bertitah demikian pada Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar.

Hadir sama Undang Luak Johol Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah bersama isteri, Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak dan Undang Luak Rembau Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman.

Mengingatkan semua wakil rakyat supaya sentiasa bekerjasama dan memelihara tertib serta mengambil bahagian dengan baik ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak, Tuanku Muhriz bertitah ia bagi memastikan rakyat di negeri ini akan sentiasa menerima faedah serta nikmat daripada setiap dasar yang dirangka dan dilaksanakan.

"Beta turut yakin, kamu semua menyedari dan memahami bahawa negeri ini adalah negeri yang beradat. Justeru, dalam mengejar pembangunan dan kemajuan, pastikan adat yang kita sanjung ini terus terpelihara sebagai warisan generasi yang akan datang."

"Baginda juga turut mengingatkan seluruh anggota agensi keselamatan termasuk institusi kehakiman, agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan unit pendakwaan untuk terus setia berkhidmat kepada raja dan negara serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan adil tanpa ada kecondongan kepada mana-mana pihak."

Tuanku Muhriz bertitah baginda menaruh kepercayaan kepada menteri besar yang diperkenankan hari ini untuk berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur.

"Yakinlah bahawa amanah yang diberikan ini perlu dilaksanakan dengan penuh integriti agar seluruh rakyat beta dapat menikmati dan merasai hasil pembangunan negeri yang bertuah ini. Beta ingin melihat kerajaan ini ditadbir dengan asas-asas ketelusan dan akauntabiliti yang kukuh."

"Teguhkanlah perpaduan dan keharmonian hidup di antara rakyat pelbagai kaum di negeri yang dikasihi ini," titah Tuanku Muhriz.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua wakil rakyat yang telah dipilih rakyat baik untuk Dewan Undangan Negeri mahupun Dewan Rakyat pada PRU14, 9 Mei lepas.

-- BERNAMA