Osman Sapian MB Johor ke-16





JOHOR BAHRU, 12 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene, di sini.

Menurut laman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu menerima watikah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada kira-kira pukul 3.06 petang.

Turut berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah, Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Johor ialah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, paduka-paduka anakanda serta suami kepada Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah, Dennis Muhammad Abdullah.

Antara yang hadir termasuk Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor Aminolhuda Hassan.

Menurut laman berkenaan, Sultan Ibrahim dalam titah baginda bersedia bekerjasama dengan Menteri Besar dan memberi nasihat dari semasa ke semasa.

Baginda turut mengingatkan Osman agar menjalankan tugas yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh dan memastikan Bangsa Johor sentiasa bersatu.

Osman, 67, yang merupakan Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar.

PH mendapat mandat membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 36 kerusi DUN Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala BN mendapat 19 kerusi dan PAS dengan satu kerusi.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi mengalahkan lawannya dengan majoriti 9,178 undi iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Bohani menerima 11,959 undi manakala calon PAS, Dzulkifli Suleiman menerima 2,321 undi.

Beliau pernah menyandang jawatan sebagai ADUN Kempas di bawah BN selama tiga penggal mulai 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada 2013.

-- BERNAMA