Aminuddin seorang yang mengutamakan keluarga, bersopan santun - keluarga





PORT DICKSON, 12 Mei (Bernama) -- Sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan dan mengadakan sidang medianya yang pertama, Aminuddin Harun terus pulang ke kediaman bapanya Harun Selamat, 104, di Kampung Pachitan di sini, bagi memohon restu anggota keluarganya.

Dibesarkan di kampung berkenaan bersama lima adik-beradik, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu disifatkan anggota keluarganya sebagai seorang yang baik, amat mementingkan hubungan keluarga, bersopan santun dan mempunyai sifat kepimpinan.

Abang kedua Aminuddin, Ismail Harun, 72, tidak menyangka dapat menyaksikan hari yang penuh bersejarah dalam keluarga mereka apabila adik bongsunya yang pernah diajarkan suatu ketika dahulu semasa menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah, di sini dipilih untuk menerajui negeri ini.




"Pada saya perkara ini amat membanggakan kerana adik yang juga anak murid saya telah berjaya sehingga ke tahap ini iaitu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan...bagi pihak seluruh keluarga saya bersyukur atas pelantikan ini.

"Saya berharap bahawa beliau dapat menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin walaupun mempunyai banyak cabaran tapi sebagai Menteri Besar, saya yakin beliau mampu melakukannya demi kepentingan rakyat negeri ini," katanya kepada pemberita di kediaman ibu bapanya di sini, hari ini.

Abang kelima kepada Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu, Mohd Amin, 54, pula mengimbas kembali perjalanan mereka berdua dalam arena politik termasuk pernah dimarahi bapanya ketika Aminuddin melahirkan hasrat ingin bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

"Namun kemarahan bapa saya reda selepas dimakluman hasrat yang sebenar Aminuddin untuk bertanding dan akhirnya beliau dapat menerima dan menghormati keputusan kami untuk bergiat aktif dalam politik," katanya sambil mengharapkan adiknya dapat melaksanakan amanah yang telah diberikan rakyat Negeri Sembilan dengan baik.

Sementara itu, Aminuddin, 51, berkata beliau bersyukur kepada Allah di atas perlantikannya sebagai menteri besar dan berjanji akan menggalas tanggungjawab itu sebaik yang mungkin.

"Saya mengambil kesempatan ini, merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, anggota Majlis Presiden PH dan Anggota Dewan Undangan Negeri PH atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.

"Paling istimewa, rakaman terima kasih saya kepada seluruh rakyat negeri ini yang telah memberikan kepercayaan kepada kami (PH), melalui PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) yang lalu. Harapan kalian akan kami laksanakan, Insya-Allah," katanya.

Aminuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat selama tiga penggal sejak 2008 hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kelapan.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz

Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini, pagi tadi.

Lahir pada 2 Jan 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri Wan Hasni Wan Yusof, 48 mempunyai lima anak, tiga lelaki dan dua perempuan.

-- BERNAMA