Dr M umum tiga menteri kabinet utama





PETALING JAYA, 12 Mei (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menamakan tiga menteri kanan Kabinet termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Perdana Menteri juga menamakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Beliau berkata buat masa sekarang hanya tiga menteri bagi portfolio utama diumumkan manakala menteri bagi baki tujuh kementerian akan diumumkan selewat-lewat minggu depan selepas selesai perbincangan dengan parti gabungan Pakatan Harapan (PH) - PKR, DAP, PPBM dan Amanah.

Dr Mahathir mengumumkan demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet di Wisma Yayasan Selangor, di sini.

Beliau turut mengumumkan Majlis Penasihat Kerajaan, yang antara lain, dianggotai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, tokoh perniagaan, Robert Kuok dan pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Dr Mahathir berkata pada mulanya mahu mempunyai Kabinet kecil seramai 25 anggota dan mempunyai menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak serta daripada organisasi lain kemudian jika wujud keperluan itu.

"Kami ada tempat untuk Sabah dan Sarawak. Kami masih menunggu pendirian mereka. Mengenai Sabah, parti Warisan diketuai oleh (Datuk Seri Mohd Shafie (Apdal) telah menyatakan sokongan penuh kepada perdana menteri dan kerajaan yang ditubuhkan oleh perdana menteri," katanya.

Mengenai penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan, Dr Mahathir berkata beliau menyedari bahawa ramai anggota Parlimen dari PH mempunyai sedikit atau tiada pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan dan pada mulanya mereka memerlukan kepakaran untuk membantu mereka.

"Sudah tentu, kepakaran itu harus datang daripada orang-orang yang mempunyai pengetahuan atau pengetahuan sebelumnya tentang pentadbiran atau berada dalam kerajaan dan pernah memegang jawatan penting," jelasnya.

Beliau berkata kumpulan pakar ini akan melakukan kajian sebelum mereka menyediakan kertas kerja untuk Kabinet.

"Sudah tentu, akhirnya kertas-kerja kerja untuk Kabinet akan disediakan oleh kementerian masing-masing. Tetapi buat sementara waktu sebelum ada kementerian yang lengkap, kita perlu melakukan penyiasatan mengenai banyak perkara.

"Beberapa daripada perkara ini mungkin melibatkan kementerian dan petugasnya sendiri," katanya.

Menurutnya, data mengenai pelbagai organisasi akan diperoleh termasuk mereka yang menguruskan dana kerajaan dan juga beberapa kementerian di bawah kerajaan sebelum ini.

"Oleh itu, pakar-pakar ini akan mengkaji data dan perkara-perkara yang berlaku dari tahun 2009 hingga kini kerana kami mahu mengambil langkah sewajar secepat mungkin," katanya.

-- BERNAMA