ADUN Chenderiang MB baharu Perak
KUALA KANGSAR, 12 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baharu di Istana Iskandariah di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah kira-kira pukul 6.05 petang.
Beliau yang berbaju Melayu hitam dan lengkap bersampin kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani.
Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Turut hadir bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli.
Ahmad Faizal, 48,dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu selepas PH berjaya meraih majoriti mudah 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Faizal menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chong Shin Heng dan Nordin Hassan daripada PAS dengan majoriti tipis 39 undi di DUN Chenderiang.
Ahmad Faizal memperoleh 7,662 undi manakala Shing Heng (7,623) dan Nordin (1,735).
Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Catur Avenue di sini sebelum ke Sekolah Menengah Anderson dan seterusnya meneruskan Ijazah Kajian Perniagaan di Edith Cowan University, Perth, Australia.
Ahmad Faizal pernah menjadi panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas 8 dan pegawai khas kanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (2013-2016).
Beliau juga aktif sebagai aktivis kemanusiaan antaranya mengikuti misi Freedom Flotila bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
-- BERNAMA