Senarai exco Perak dijangka minggu depan





IPOH, 12 Mei (Bernama) -- Senarai Exco kerajaan negeri bakal dimuktamadkan minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata perbincangan mengenai perkara tersebut akan dibuat esok membabitkan setiap pengerusi parti dalam Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.

Katanya perbincangan turut meliputi perkara khusus yang menjurus ke arah pembahagian portfolio antara parti dalam PH.

"Kita akui memerlukan masa kerana ini satu perkara yang amat penting dan tidak boleh diambil mudah," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Rokam, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal, 48, yang juga Pengerusi PH Perak mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu di hadapan Sultan Nazrin Shah di Kuala Kangsar kira-kira pukul 6.05 petang tadi.

Ahmad Faizal berkata, beliau juga bersyukur kerana Barisan Nasional (BN) memberi kerjasama yang baik dalam fasa peralihan kerajaan negeri kepada PH.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi PPBM negeri berharap setiap penjawat awam di Perak akan memberi kerjasama dan komitmen kepada kerajaan negeri dalam proses pentadbiran.

"Saya memerlukan kerjasama daripada semua. Saya juga berjanji akan memberi komitmen dan kerjasama paling baik kepada semua penjawat awam di Perak," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mendapat 29 daripada 59 kerusi DUN, manakala Barisan Nasional 27 dan PAS (3).

Keputusan itu menyaksikan tiada mana-mana parti mendapat majoriti mudah 30 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, namun kemelut tersebut berakhir hari ini selepas dua ADUN BN memilih untuk menyertai PH sekali gus membolehkan pakatan itu mendapat 31 kerusi.

-- BERNAMA