Pelantikan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri disambut positif masyarakat Sabah





KOTA KINABALU, 12 Mei (Bernama) --- Pelantikan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah berkuatkuasa hari ini mendapat reaksi positif masyarakat setempat.

Mohd Azlan Abidin, 26 berkata perkara itu merupakan perkembangan positif untuk politik di Sabah sekali gus membolehkan rakyat dipimpin oleh ketua yang diyakini dapat membangun Sabah serta penduduknya.

"Warisan menjamin proses pembangunan dan kemajuan kawasan bandar dan luar bandar Sabah, dan diyakini kerajaan baru di bawah Shafie lebih fokus kepada suara rakyat yang akan terus dipanjangkan kepada kerajaan pusat," katanya kepada Bernama.

Beliau turut yakin Mohd Shafie dapat menggalas tanggungjawab selaku Ketua Menteri Sabah dengan baik dan mendahulukan rakyat dalam segala perkara.

Senada mengenai perkara itu, Suzalina Kahar, 35, berkata pengalaman, kredibiliti serta komitmen dimiliki Mohd Shafie adalah kelebihan baginya memimpin negeri ini dengan baik dan teratur.

"Tahniah Datuk Seri (Mohd Shafie), semoga dapat membimbing Sabah ke hadapan sebagai negeri pelbagai budaya, bersatu dan sederhana," katanya.

Sementara itu, Alen Chen, 31, menzahirkan kegembiraan mengenai pelantikan Mohd Shafie dan berkata harapan agar beliau dapat melaksanakan kerja dengan baik serta berdedikasi.

"Beliau dipilih rakyat dan memegang peranan penting untuk mensejahterakan rakyat Sabah, justeru jangan mengecewakan kami," katanya.

-- BERNAMA