Adakan Persidangan Khas SUPP untuk bincang masa depan
SIBU, 13 Mei (Bernama) -- Masa depan dan hala tuju SUPP, yang mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14, perlu dibawa ke persidangan khas perwakilan parti itu.
Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata parti itu antaranya perlu membincangkan sama ada harus kekal atau sebaliknya dalam gabungan BN.
"Selain itu, kedudukan presiden parti Prof Datuk Dr Sim Kui Hian yang memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada persidangan perwakilan Disember 2017, harus dibincangkan dan diputuskan dalam persidangan itu," pada sidang berita di sini, hari ini.
Menurutnya kuasa mengadakan persidangan itu termaktub mengikut Artikel 17 Peraturan dan Perlembagaan SUPP dan ia merupakan badan tertinggi parti yang boleh membuat keputusan berhubung masa depan dan kedudukan presiden parti.
"Perkara ini sangat serius kerana ia memberi kesan kepada kelangsungan SUPP, para perwakilan yang mewakili akar umbi perlu diberi peluang bersama-sama membuat keputusan," katanya.
Wong berkata SDC boleh diadakan sama ada oleh Jawatankuasa Kerja Pusat atau melalui petisyen oleh dua cawangan yang mempunyai gabungan keanggotaan berdaftar merangkumi 20 peratus daripada jumlah keseluruhan keanggotaan SUPP.
Perwakilan yang hadir hendaklah terdiri daripada mereka yang dilantik di peringkat cawangan dan mewakili akar umbi untuk diberi peluang menyuarakan pandangan serta membuat keputusan.
"SDC akan diadakan dalam masa 40 hari selepas mendapat persetujuan CWC atau petisyen daripada cawangan-cawangan parti tersebut," katanya.
SUPP yang diketuai Dr Sim mengalami kekalahan teruk apabila tewas di kerusi parlimen Stampin, Mas Gading, Sarikei, Lanang dan Bandar Sibu dan hanya memenangi kerusi Parlimen Serian.
-- BERNAMA