BN Johor anggap tindakan 3 ADUN lompat parti sebagai tidak bermoral




File Bernama

JOHOR BAHRU, 13 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional(BN) Johor menyifatkan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai tidak bermoral.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun tindakan tersebut merupakan satu kebebasan dan tidak patut dihalang, namun BN beranggapan tindakan itu tidak seharusnya dilakukan atas beberapa faktor.

Pertama, amalan demokrasi Malaysia semakin matang dan subur sejak beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu menyaksikan kita beralih ke arah sistem dua parti yang dilihat dapat menawarkan satu proses semak dan imbang yang tegas, konstruktif dan berkesan kepada mana-mana parti yang memerintah, kata beliau dalam kenyataan hari ini.

"Tindakan ini adalah sesuatu yang terbelakang lebih-lebih lagi bila kita sedar mana-mana parti yang kalah dalam PRU sangat diharapkan menjadi faktor timbal balik atau melakukan semakan, bagi memastikan parti yang memenangi pilihan raya dapat berfungsi dengan baik dan mengotakan janji mereka dan ini adalah satu bentuk khidmat kepada bangsa dan negara.

"Kedua, ia adalah satu tindakan yang tidak menyantuni prinsip dan jangkaan demokrasi kerana pihak lawan seharusnya menawarkan ideologi, dasar serta akujanji yang berlainan maka, ini dianggap sebagai pengabaian prinsip.

"Ketiga, tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada harapan, usaha keras dan kepercayaan semua pihak," katanya

Semalam, tiga ADUN BN dari parti UMNO mengumumkan keluar parti dan menyertai PPBM sekali gus menjadikan jumlah kerusi DUN Pakatan Harapan kepada 39 kerusi.

Tiga ADUN yang bertindak keluar UMNO dan BN dan menyertai PPBM ialah ADUN Sedili Rosleli Jahari, ADUN Endau Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama Alwiyah Talib.

-- BERNAMA