Tiga projek utama di Kulim tidak terjejas di bawah kerajaan baharu
KULIM, 13 Mei (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) memberi jaminan semua projek yang sudah diluluskan dan dalam pembinaan tidak akan terjejas berikutan peralihan kerajaan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke -14.
Pengarah Jabatan Kejuruteraannya, Ir Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, tiga projek utama iaitu kerja menaik taraf stesen bas Kulim, menaik taraf Jalan Kota Kenari 3 dan menaik taraf tiga flat di Taman Jati tetap berjalan seperti yang dirancangkan.
"Bagi kerja naik taraf stesen bas fasa pertama bernilai RM990,000, beliau berkata kerja-kerja penurapan di tapak sementara stesen teksi sudah berjalan sejak awal Mei lalu diikuti dengan pemindahan peniaga ke tapak sementara yang sudahpun siap," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Katanya, anjakan masa tersebut juga dilihat sebagai memudahkan peniaga makanan di situ tidak perlu tergesa-gesa berpindah dan menjalankan perniagaan di tapak sementara kerana bulan puasa semakin hampir.
Bagi projek naik taraf jalan raya di Jalan Kota Kenari 3 bernilai RM1.6 juta, beliau berkata tiada istilah projek tersebut terbengkalai seperti didakwa penduduk malah kerja-kerja yang dijalankan sudah mencapai tahap 20 peratus dan di jangka siap akhir Ogos nanti.
-- BERNAMA