"Kalau saya salah, tegur saya" - ADUN Teruntum




KUANTAN, 13 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang meminta penduduk di daerah ini untuk menegurnya jika gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Sim berkata sebagai wakil rakyat yang diberi kepercayaan, beliau mahu berazam untuk menggunakan tempoh masa selama lima tahun akan datang untuk menyelesaikan sebanyak mungkin masalah rakyat.

"Kalau saya sombong, sila tegur. Kalau saya buat kerja dengan baik, boleh puji, tapi jika saya ada buat silap atau salah tolong tegur. Kita bukan seperti UMNO yang tidak boleh ditegur," katanya.

Sim berkata demikian pada Jamuan Kesyukuran Rakyat di Padang Kemunting di sini, hari ini, yang turut dihadiri Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan kira-kira 2,000 penduduk.

Sim, wakil rakyat PKR, juga meminta penduduk di Kuantan yang berhadapan masalah supaya berjumpa dengannya dan memberitahu 'perkhidmatannya tidak terhad kepada penduduk di sekitar daerah ini sahaja'.

"Kita terima semua masalah di Pahang," katanya.

Pada majlis itu, Sim turut memberitahu bahawa semua ADUN Pakatan Harapan telah dijemput untuk menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dua hari lepas di Istana Abdul Aziz di sini.

Katanya baginda bertanyakan permasalahan rakyat dan beliau telah mempersembahkan apa yang diketahuinya.

"Jadi, jika ada masalah, datanglah kepada saya, jangan tunggu. Kita akan cuba untuk selesaikan. Saya akan cuba untuk turun dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk bertemu semua," katanya.

-- BERNAMA