Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat dengan KSN, KSU
PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di Presint 8 di sini untuk mempengerusikan mesyuarat khas pelaksanaan 10 janji 100 hari kerajaan bersama pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam hari ini.
Ketibaan beliau pada 9.10 pagi dinanti-nantikan oleh lebih 50 wakil media tempatan dan antarabangsa yang menunggu di hadapan pagar Yayasan Kepimpinan Perdana seawal 7 pagi.
Sebelum memasuki pagar bangunan itu, kenderaan yang membawa perdana menteri diperlahankan dan cermin diturunkan, menarik jurugambar untuk mendekati kenderaan berkenaan sebelum dihalang pegawai keselamatan dan polis.
Dr Mahathir melemparkan senyuman kepada wakil media dari kenderaan beliau.
Mesyuarat berkenaan dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan ketua-ketua setiausaha pelbagai kementerian.
Ini merupakan mesyuarat rasmi pertama Dr Mahathir bersama pegawai kanan perkhidmatan awam selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lepas.
Kemenangan PH menamatkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional selama 61 tahun.
Susulan kemenangan itu, pada 10 Mei, Dr Mahathir mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah jawatan perdana menteri kali kedua pada usia 92 tahun sekali gus menjadi pemimpin negara yang paling berusia di dunia.
-- BERNAMA