Adly mula tugas Ketua Menteri Melaka hari ini
MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Melaka Adly Zahari memulakan tugasnya hari ini di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.
Beliau tiba di pejabatnya kira-kira 8.30 pagi diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Roslan Ibrahim.
Adly kemudian mengambil masa kira-kira 10 minit untuk bersalaman dan beramah mesra dengan kakitangan di Jabatan Ketua Menteri Melaka.
Beliau seterusnya melakukan perbincangan mengenai aturan dan pengurusan kerajaan negeri bersama Roslan serta kakitangan terlibat.
Petang ini, Adly dijadual mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakub sebelum mengadakan sidang media dipercayai berkaitan dengan pelantikan Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Adly yang juga Pengerusi PH Melaka mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Jumaat lepas selepas pakatan itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Rabu.
-- BERNAMA