Kecemerlangan khidmat penjawat awam Selangor penyumbang kemenangan PH





SHAH ALAM, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kecemerlangan sektor perkhidmatan awam negeri ini antara faktor penyumbang kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) untuk terus mentadbir Selangor bagi tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata sumbangan besar yang diberikan menerusi khidmat profesional dan berintegriti sebelum ini dilihat menepati aspirasi rakyat serta berjaya mengukuhkan keyakinan mereka, seterusnya melonjakkan prestasi Selangor untuk menjadi contoh sebuah negeri maju di negara ini.

"Dalam jelajah kempen (Pilihan Raya Umum ke-14) saya ke seluruh negara, antara mesej yang disebarkan adalah mengenai kejayaan Selangor dan saya tidak nafikan ia hasil sumbangan besar penjawat awam negeri."

"Apabila diumum kita (PH) menang majoriti 51 daripada 56 kerusi (Dewan Undangan Negeri), saya terkejut-tetapi sebenarnya ia adalah bukti keyakinan rakyat hasil penilaian ke atas khidmat jujur dan ikhlas kita selama ini," katanya semasa berucap pada majlis minum pagi bersama kira-kira 100 penjawat awam negeri di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Majlis ringkas itu diadakan sempena menyambut kehadiran Mohamed Azmin untuk penggal kedua sebagai menteri besar setelah mengangkat sumpah jawatan itu pada Jumaat lepas.

Terdahulu, beliau tiba di pejabatnya di bangunan berkenaan kira-kira 7.40 pagi sebelum mengetip kad kehadiran tepat pukul 7.48 pagi.

Tambah Mohamed Azmin, sokongan padu dan anjakan paradigma rakyat khususnya di Selangor pada PRU14 mencatatkan sejarah baharu politik negara namun ia sebenarnya menuntut seluruh pentadbiran negeri ini supaya terus bekerja lebih kuat membangunkan negeri.

Katanya antara perkara yang akan diberi keutamaan bagi pentadbiran penggal baharu ini adalah untuk menyelesaikan masalah industri air yang tertangguh sejak sekian lama susulan kementerian terlibat pada pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini 'bermain politik' dengan menghukum rakyat Selangor.

"Tapi kali ini, dengan Perdana Menteri baharu dan Majlis Penasihat Kerajaan yang baik, saya yakin perkara ini boleh diselesaikan dengan segera dan semangat yang ditunjukkan sektor perkhidmatan awam negeri pasti akan dapat selesaikan pelbagai masalah seterusnya mengekalkan Selangor sebagai negeri industri," katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin menyeru penjawat awam di Selangor supaya tidak terlalu selesa dengan sokongan yang diberikan rakyat bagi mengelak kealpaan dan kecuaian dalam perkhidmatan kerana rakyat mampu 'menghukum' seperti mana yang berlaku kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU14.

-- BERNAMA