Senarai exco Johor akan dipersembah kepada Sultan hari ini
ISKANDAR PUTERI, 14 Mei (Bernama) -- Pengagihan jawatan exco kerajaan negeri yang akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini untuk diperkenankan, dibuat berdasarkan formula 3:3:2:2.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian bagaimanapun, tidak menyatakan secara spesifik parti mana yang akan mendapat masing-masing tiga dan dua jawatan.
"Saya hanya boleh kata 3,3,2,2 dahulu. Siapa dia, saya tidak boleh beritahu lagi kerana mungkin terdapat perubahan selepas menghadap Sultan.
"Keputusan akhir adalah daripada baginda dan selepas itu, baru saya boleh bercakap," katanya ketika mengulas senarai barisan exco kerajaan Johor yang akan dilantik.
Beliau ditemui pemberita selepas secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Johor yang baharu di Pejabat Menteri Besar Johor, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini.
Osman berkata beberapa portfolio exco juga akan menyaksikan perubahan termasuk dari segi nama.
Majlis angkat sumpah bagi kesemua exco itu dijangka diadakan selewat-lewatnya petang esok di Istana Bukit Serene, di sini.
Malam tadi, Pejabat Presiden PPBM dalam satu kenyataan berkata Pakatan Harapan (PH) Johor telah bermesyuarat di Kuala Lumpur bagi memutuskan senarai nama exco-exco berkenaan dan membincangkan tentang pengagihan kerusi.
Mesyuarat dipengerusikan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PH Johor itu dihadiri Osman, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim serta Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
-- BERNAMA