Mohd Shafie adakan perbincangan dengan SKN
KOTA KINABALU, 14 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memulakan tugas hari pertama dengan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Sukarti Sukiman.
"Alhamdulillah, hari ini saya panjatkan kesyukuran, atas izin Allah dapat saya buat pertama kali berada di pejabat Ketua Menteri Sabah. Mudah-mudahan mendapat kerjasama semua pihak bukan hanya daripada pegawai kerajaan negeri yang ada.
"Saya akan membuat beberapa taklimat untuk pertemuan dengan ketua jabatan dan semua perkhidmatan awam bila masa mengizinkan untuk membolehkan saya memaklumkan, menjelaskan tentang hala tuju kerajaan negeri di bawah pimpinan baharu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melapor tugas secara rasmi sebagai Ketua Menteri Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini, hari ini.
Beliau tiba di PPNS pada 10.51 pagi dan selepas itu ke kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya.
Presiden Parti Warisan itu berkata penting bagi mereka (penjawat awam negeri dan persekutuan) mengetahui hala tuju kerajaan negeri bagi membolehkan mereka melaksanakan dasar-dasar tersebut dan keupayaan mereka untuk menjalankannya.
"Saya sedar dan tahu ia akan mengambil masa untuk mereka terjemahkan ia menjadi kenyataan," katanya.
Menurutnya beliau juga sudah meminta taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah tentang keselamatan.
Beliau berkata seperti yang dijanjikan pada Manifesto Parti Warisan ada beberapa pendekatan yang akan dilaksanakan dalam jangka masa 100 hari.
-- BERNAMA