Tidak beri peruntukan kepada pembangkang, bukan keputusan muktamad - MB Johor
ISKANDAR PUTERI, 14 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian hari ini menjelaskan hasrat awal kerajaan negeri untuk tidak menyalurkan peruntukan pembangunan kepada pembangkang, adalah keputusan yang belum lagi dimuktamadkan.
Osman berkata sebagai sebuah kerajaan yang adil, pihaknya mempunyai 'formula' sendiri dalam mengagihkan peruntukan tersebut demi memastikan setiap rakyat merasai pembangunan biarpun tinggal dalam kawasan pembangkang.
"Bukan itu sahaja, malah saya tengah berfikir bagaimana untuk pastikan mereka (pembangkang) dapat menjalankan kerja dengan lebih efisien. Kalau dahulu tidak ada, pada masa saya, sekarang kita akan bagi peruntukan pembiayaan pejabat dan pembantu.
"Kerana saya faham, gaji wakil rakyat tidak besar dan kadang-kadang tidak sampai juga ke rumah (untuk kegunaan sendiri). Saya tahu semuanya, kerana dahulu saya seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)," katanya kepada media sejurus memulakan tugas rasmi di pejabat Menteri Besar Johor, di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.
Osman yang juga ADUN Kempas berkata demikian sebagai mengulas kritikan beberapa pihak termasuk wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) berhubung kenyataannya sebelum ini.
Sabtu lepas, Osman berkata kerajaan Johor akan meneruskan dasar tidak akan menyalurkan peruntukan kepada ADUN pembangkang di negeri ini, sebagaimana dakwa beliau dilaksanakan pentadbiran sebelum ini.
Malah, beliau turut menyifatkan jika kerajaan negeri menyalurkan peruntukan kepada mereka, ia diibarat 'memberi peluru kepada musuh.'
Dalam perkembangan lain, Osman memberitahu bahawa pihaknya akan mengkaji semula Bajet Negeri yang telah dibentangkan kerajaan negeri sebelum ini kerana mahu mengambil kira pelaksanaan beberapa manifesto PH yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Manifesto itu antara lain memberikan 10 meter padu air percuma (kediaman) kepada golongan B40 serta pemberian lesen bagi peniaga-peniaga kecil.
"Oleh kerana kita hendak melaksanakannya dan ia bersangkut-paut dengan kewangan, jadi akan ada sedikit perubahan," katanya.
Mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menukar slogan Muafakat Johor kepada Harapan Johor yang mengundang pelbagai reaksi negatif termasuk daripada rakyat Johor sendiri, beliau berkata itu juga hanyalah lontaran ideanya dan belum dimuktamadkan.
"Alhamdulillah, bagi saya info (reaksi) macam ini, yang sebenarnya baik. Saya bukan artis, jadi apabila orang sudah komen, kita sudah tahu apa kehendak rakyat di peringkat bawah.
"Ini caranya. Untuk saya, saya suka macam ini," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan berusaha meminta peruntukan yang lebih besar daripada kerajaan pusat bagi melancarkan urusan pentadbiran.
Katanya, Johor merupakan antara penyumbang utama kewangan negara, namun hanya mendapat agihan peruntukan pembangunan yang kurang memberangsangkan, menyebabkan ia bergantung kepada pendapatan daripada hasil bumi dan cukai tanah.
-- BERNAMA