Senarai exco Melaka dibentang kepada Yang Dipertua Negeri petang ini
MELAKA, 14 Mei (Bernama) -- Senarai Exco Kerajaan Negeri Melaka akan dibentang kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob petang ini, kata Ketua Menteri Adly Zahari.
Beliau berkata exco kerajaan negeri, yang dilantik daripada 15 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di negeri ini, antara lain mengambil kira komposisi kerusi DUN yang dimenangi parti komponen PH, kompetensi dan pengalaman setiap ADUN berkenaan.
"Setakat ini, kita tidak keluarkan pecahan mengikut parti. Saya harus membentangkanya kepada Yang Dipertua Negeri petang ini. Cuma sekarang ini, kita masih lagi menyusun dan memperkemaskan portfolio itu," katanya pada sidang berita di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau berkata portfolio asas seperti kewangan dan tanah masih dipegang ketua menteri.
"Portfolio lain itu, kita akan lihat. Dahulu, ketua menteri pegang terlalu banyak portfolio tetapi kita akan kaji balik agar ketua menteri dapat beri tumpuan kepada urusan pentadbiran secara khusus," katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, PH memenangi 15 kerusi iaitu DAP (8), PKR (3), PPBM (2) dan Amanah (2).
Sementara itu, Adly yang juga Pengerusi PH Melaka, berkata pengurusan bajet dan kewangan efisien merupakan antara fokus utama Kerajaan Negeri Melaka dan pihaknya sedang merangka pelbagai pelan bagi meresalisasikan hasrat itu.
Beliau berkata kerajaan negeri mahu menambah pendapatan negeri termasuk dengan menstruktur semula sumber tanah dan kaedah cukai tanpa melibatkan kenaikan kadar yang dikenakan kepada rakyat.
"Saya sudah dimaklumkan tentang pendapatan yang ada, jadi, kita lihat ada sebahagian lebihan dan ada juga kekurangan. Selepas ini, kita akan melihat apa lagi peluang yang boleh kita dapat dan bagaimana untuk melakukan penjimatan dari segi pengurusan," katanya.
Adly berkata selain itu, penelitian juga akan dibuat terhadap agensi serta anak syarikat kerajaan negeri bagi mengenal pasti agensi atau syarikat yang mampu menyumbang kepada kerajaan negeri serta rakyat khasnya.
"Memang ada sebahagiannya (agensi dan anak syarikat) tidak berfungsi lagi dan juga yang tidak efektif, kita akan berhentikan...yang perlukan sokongan kita akan terus membantu supaya boleh berdikari sendiri," katanya.
Ditanya tentang peruntukan kepada kawasan dimenangi pembangkang, beliau berkata dalam prinsip demokrasi, wakil kerajaan atau pembangkang yang dipilih rakyat perlu diberikan peruntukan untuk menjaga rakyat di kawasannya.
-- BERNAMA