Aminuddin mula tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini




SEREMBAN, 14 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Aminuddin Harun secara rasmi memulakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tiba di Wisma Negeri di sini pada kira-kira pukul 2.35 petang dan disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan serta ketua-ketua jabatan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Aminuddin kemudian ke tingkat 5 Wisma Negeri untuk mengetik kad tebuk beliau.

Selepas itu, beliau mengambil masa kira-kira 10 minit untuk bersalaman dan beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau seterusnya melakukan perbincangan berkenaan dengan aturan dan pengurusan kerajaan negeri bersama Mat Ali di Pejabat Menteri Besar.

Pagi tadi, beliau hadir pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Bandar Seri Jempol oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Aminuddin yang juga ADUN Sikamat selama tiga penggal sejak 2008 mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang kelapan di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Sabtu lepas.

Lahir pada 2 Jan 1967 di Kampung Pachitan, Port Dickson, Aminuddin dan isteri Wan Hasni Wan Yusof, 48 mempunyai lima anak, tiga lelaki dan dua perempuan.

-- BERNAMA