SPR nafi dakwaan manipulasi PRU14




PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Bersih 2.0 kononnya suruhanjaya itu memanipulasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk memenangkan pihak tertentu.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menegaskan bahawa semua proses PRU14 telah dilaksanakan dengan telus dan adil tanpa sebarang unsur manipulasi terhadap mana-mana pihak.

"SPR tidak pernah bertindak campurtangan dalam semua urusan termasuk semasa proses pengiraan dan penjumlahan kertas undi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hashim berkata pada hari pengundian awal dan pengundian biasa, semua proses dikendalikan oleh petugas pilihan raya yang dilantik dalam kalangan orang awam berjumlah 259,000 orang dan ia turut disaksikan oleh semua ejen yang dilantik oleh calon atau parti yang bertanding.

Katanya keputusan penuh PRU14 yang berpihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan berlakunya peralihan kerajaan secara lancar dan teratur jelas membuktikan bahawa PRU14 telah dijalankan secara telus dan adil.

Dalam hal ini, Mohd Hashim berkata SPR bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang manipulasi atau penyelewengan semasa proses PRU14.

-- BERNAMA