Kenyataan Media Berhubung Pemansuhan GST Tidak Benar




GEORGE TOWN, 14 Mei (Bernama) -- Kementerian Kewangan tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun ini seperti yang tular di media sosial hari ini, menurut Lim Guan Eng yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan.

Lim berkata tidak ada sesiapa daripada kementerian itu yang boleh mengeluarkan sebarang kenyataan termasuk isu pemansuhan GST memandangkan beliau masih belum mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan.

"Itu tidak benar kerana tidak ada sesiapa yang mengeluarkan arahan sedemikian. Saya tidak boleh keluarkan arahan kerana saya belum angkat sumpah. Buat masa ini hanya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang boleh mengeluarkan kenyataan dan arahan.

"Saya telah menghubungi perdana menteri dan beliau telah mengesahkan bahawa tidak ada sebarang arahan sedemikian dikeluarkan oleh pihaknya. Maka kenyataan media ini adalah palsu dan tidak benar sama sekali,"katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dalam siaran media yang didakwa dikeluarkan Kementerian Kewangan yang tular di media sosial hari ini menyatakan bahawa kerajaan persekutuan mengisytiharkan pemansuhan GST berkuat kuasa 1 Jun ini berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas.

Menurut siaran media itu, ia adalah sebagai hadiah sempena Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Malaysia yang telah memberi kemenangan kepada kerajaan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum itu.

Bagaimanapun, Lim berkata kerajaan persekutuan tetap akan memansuhkan GST dan ia akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.

"Memang kami akan mansuhkan GST tetapi kerana kami belum mengangkat sumpah dan tidak mempunyai kuasa maka ia tidak boleh dilaksanakan seperti tarikh yang ditetapkan. Kami akan buat dalam masa 100 hari seperti yang kami janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan,"katanya.

GST, sebanyak enam peratus, mula diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada 1 April 2015 menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). -- BERNAMA