Gerakan Pulau Pinang mahu Teng terus terajui parti
GEORGE TOWN, 15 Mei (Bernama) -- Gerakan Pulau Pinang mahu Teng Chang Yeow yang meletak jawatan pada Rabu lepas terus menerajui parti itu.
Naib Pengerusinya Oh Tong Keong berkata ini kerana mereka berpandangan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) minggu lepas bukan berpunca daripada kelemahan kepimpinan Teng sebaliknya disebabkan tsunami rakyat.
"Demi meneruskan perjuangan parti, kami amat memerlukan seorang pemimpin yang berbakat, berkebolehan dan berkaliber untuk memimpin kami dan buktinya anggota-angota parti di semua 13 Bahagian mahu Teng kekal menerajui parti dan berjuang membantu rakyat Pulau Pinang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Oh berkata Gerakan Pulau Pinang juga akan mengadakan satu mesyuarat khas minggu depan bagi membincangkan perkembangan semasa dan hala tuju parti.
"Jika Teng bertegas tidak mahu memegang jawatan (Pengerusi Gerakan negeri) itu, maka terserah kepada anggota parti untuk membuat pilihan pada pemilihan parti yang akan diadakan September ini," katanya.
Teng yang menerajui Gerakan Pulau Pinang sejak 2013 meletak jawatan itu selain menyatakan mahu bersara daripada politik sejurus selepas keputusan PRU14 diumumkan yang menyaksikan parti berkenaan mengalami kekalahan teruk.
Pada PRU itu, Gerakan Pulau Pinang bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi malah BN
negeri juga kehilangan lapan daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripada tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13, kesemuanya menerusi UMNO.
Mereka hanya berjaya mempertahankan DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan serta kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas.
Pakatan Harapan pula memenangi 37 kerusi DUN dan 11 kerusi Parlimen manakala PAS menang satu kerusi DUN di Penaga.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen, keseluruhannya.
-- BERNAMA