PH Perak rai sokongan tanpa jejas pentadbiran




IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) negeri Perak mengamalkan prinsip meraikan sokongan daripada sesiapa sahaja termasuk yang ingin menyertai gabungan itu dan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata permohonan kemasukan sesiapa sahaja ke dalam PH khususnya di negeri ini pertimbangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Negeri Perak.

"Setiap permohonan kemasukan diberi pertimbangan yang tegas agar segala episod duka rakyat tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PH Perak mengulas keputusan menolak kemasukan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perak.

Ahmad Faizal berkata keputusan itu ditolak setelah mengambil kira bahawa Jamaluddin menjadi salah satu faktor pengkhianatan kerajaan Pakatan Rakyat sehingga berlaku krisis perlntadbiran di Perak pada 2008.

Sementara itu, Ketua Penerangan Keadilan Perak Siti Aishah Shaik Ismail berkata kehadiran Jamaluddin dalam satu sidang media berkaitan kemasukkan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ke dalam PPBM semalam adalah tidak diundang.

"Beliau (Menteri Besar) juga menegaskan bahawa penyertaan mana-mana individu tidak menjadi asas kepada sebarang bentuk penawaran jawatan atau tempat dalam setiap posisi pentadbiran politik negeri," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Siti Aishah berkata PH Perak memadang serius setiap perkara yang berlaku agar ia tidak membantutkan usaha kerajaan negeri bagi memastikan keutamaan rakyat didahulukan.

Ditanya mengenai tawaran jawatan Exco kepada Zainol Fadzi dan ADUN Tualang Sekah Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi, Siti Aishah berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

-- BERNAMA