PKR guna WhatsApp untuk tangani masalah di Miri
MIRI, 15 Mei (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mewujudkan Whatsapp kumpulan kejiranan komuniti dan pengawasan jenayah bagi Miri dalam usaha mencari penyelesaian jangka panjang dan pendek terhadap isu yang membelenggu kehidupan seharian di bandaraya itu.
Naib Pengerusi Wanita Kebangsaan PKR Voon Shiak Ni berkata penggunaan kumpulan WhatApps itu akan dilakukan segera dan buat permulaan akan difokuskan di kawasan taman perumahan di bandaraya Miri.
"Pendekatan ini telah berjaya dilaksanakan di bandaraya Kuching di mana penduduk setempat dihubungkan dengan wakil rakyat mereka, agensi kerajaan tempatan dan polis," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata kaedah ini menampakkan kejayaan di bandaraya Kuching sehingga ada tempat yang merekodkan sifar kes jenayah berbanding satu kes jenayah seminggu sebelumnya.
Katanya tujuan mewujudkan kumpulan Whatsapp itu adalah untuk mencari penyelesaian terhadap isu harian yang membelenggu penduduk kawasan Parlimen Miri bersama pihak berkuasa berkenaan seperti
majlis tempatan dan bukan hendak mencari kesalahan sesiapa.
"Kami tidak mahu mengutarakan setiap masalah yang dihadapi kepada media, kami mahu menanganinya menerusi saluran yang sesuai, kami mengalu-alukan kritikan membina daripada orang ramai dan maklumkan kepada kami di mana yang harus dibuat penambahbaikan," kata beliau.
Voon yang juga setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng juga mengumumkan bahawa satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan di mana tanggungjawab pertama ialah mewujudkan kumpulan Whatsapp sebanyak mana mungkin dan menerima aduan orang ramai.
"Kami (jawatankuasa kerja) boleh dihubungi menerusi talian 01663660133 (Wong) atau 163983744 (Peter Abong) 24 jam dan kami juga mempunyai kaunter di pusat khidmat kami yang terletak di Miri Waterfront yang dibuka dari Isnin hingga Sabtu mulai 9 pag hingga to 5 petang," katanya.
Beliau berkata jawatankuasa kerja itu akan melaksanakan kaedah mesra orang ramai dengan merancang perjumpaan secara bersemuka atau 'town hall' di mana orang ramai boleh menyarakan permasalahan mereka serta memberi cadangan.
Sementara itu Dr Teo berkata antara isu di Miri yang cuba diselesaikan oleh PKR termasuk bekalan air bersih, bekalan elektrik, setinggan dan perkhidmatan kesihatan.
-- BERNAMA