PH negeri akan tubuh Majlis Perundingan Indera Mahkota
KUANTAN, 15 Mei (Bernama) -- Sebuah Majlis Perundingan Indera Mahkota akan ditubuhkan dalam masa terdekat oleh Pakatan Harapan (PH) negeri untuk mendengar segala permasalahan rakyat di kawasan Parlimen berkenaan.
Anggota Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata penubuhan majlis itu selaras dengan konsep kerajaan yang bersifat terbuka yang diamalkan PH.
"Penubuhan majlis ini diharapkan bersifat dua hala dengan setiap pandangan rakyat akan diambil kira dan dalam masa yang sama setiap keputusan yang diambil kerajaan akan disampaikan terus kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran dan Jamuan Rakyat Parlimen Indera Mahkota di Bilik Gerakan Utama PKR Parlimen Indera Mahkota, Balok di sini, malam tadi.
Turut hadir pada majlis itu adalah Pengerusi PH Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum Sim Chon Siang dan ADUN Semambu Lee Chean Chung.
Saifuddin berkata majlis perundingan itu juga akan melibatkan ADUN Beserah Andansura Rabu daripada PAS dan seramai 50 anggota lain terbahagi kepada empat komponen penting iaitu wakil politik, wakil jabatan kerajaan, badan NGO dan kumpulan perniagaan
"Kami menjemput Andansura untuk menganggotai majlis ini kerana beliau adalah calon yang dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat kepada mereka," katanya.
Saifuddin turut berkata pihaknya juga akan menunaikan janji untuk mengadakan hari terbuka setiap Jumaat untuk rakyat kawasan Parlimen itu bertemu dengan lebih dekat dengannya tanpa temu janji untuk menyuarakan sebarang permasalahan.
"Tetapi pihak kami juga sedang dalam proses mencari lokasi pejabat baharu yang lebih sesuai untuk memudahkan semua penduduk Parlimen ini untuk berkunjung," katanya.
-- BERNAMA