Samsuri akui Ahmad Razif pemimpin berjiwa besar, akan bekerjasama
KUALA TERENGGANU, 15 Mei (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman hari ini hadir ke majlis penyerahan tugas kepada penggantinya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Kedua-dua mereka dilihat berbual santai hampir 15 minit sebelum upacara menandatangani dokumen penyerahan tugas.
Turut hadir Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk A Rahman Yahya dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain.
Ahmad Samsuri berkata kehadiran bekas menteri besar itu adalah satu permulaan baharu yang baik ke arah kerjasama kedua-dua pihak dalam memacu Terengganu menjadi negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
Beliau juga mengulangi pendirian untuk meneruskan dan menambah baik program-program bermanfaat untuk rakyat yang telah diperkenalkan kerajaan negeri kepada rakyat sebelum ini.
Ditanya sama ada PAS Terengganu akan bekerjasama dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) negeri dalam menuntut royalti minyak daripada kerajaan pusat, beliau berkata PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan untuk rakyat.
"Apa yang perlu difahami ialah politik itu sendiri tujuannya untuk menyelesaikan masalah, bukannya mencari masalah.
"Kehadiran bekas menteri besar hari ini adalah detik bersejarah untuk negeri. Saya amat menghargai kedatangan beliau," katanya yang menyifatkan Ahmad Razif sebagai pemimpin berjiwa besar.
Sementara itu, Ahmad Razif berkata beliau sedia memberi sumbangan tenaga atau idea kepada kepimpinan negeri yang baharu.
"Bagi pihak saya, tak ada masalah, insya-Allah kita akan saling bekerjasama, pilihan raya umum pun sudah berlalu. Sekarang ini masa untuk sama-sama berganding bahu untuk memperjuangkan yang terbaik untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA