PRU14 bukti rakyat adalah tuan, pemimpin adalah pelayan




PEKAN, 15 Mei (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengajar semua pihak bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan realitinya, rakyat sebenarnya adalah tuan, manakala pemimpin sebenarnya adalah sebagai pelayan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sehubungan itu, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan wakil rakyat yang terpilih pada kali ini perlu menyantuni dan sentiasa mendengar suara rakyat.

"Sentiasalah berlaku adil dan jujur kepada rakyat, berkhidmat untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat," titah baginda pada Istiadat Pergurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang dan Exco di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah.

Memandangkan PRU14 telah berlalu, Tengku Abdullah berharap kerajaan negeri dan semua pihak yang berkenaan dapat menumpukan kembali kepada soal membangunkan negara dan membela nasib rakyat di negeri ini.

Rakyat telahpun bersuara, pepatah orang lama dahulu berpesan, biduk lalu kiambang bertaut, ini bukan masa kita mengimbau zaman silam sebaliknya saya berkehendakkan semua wakil rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik bekerjasama sebagai kumpulan untuk membela nasib rakyat di negeri ini.

"Begitu juga dengan rakyat sekalian, rapatkan kembali saf dan hentikan pertikaian. Jadikanlah perpaduan ummah sebagai agenda utama kita, saya juga ingin berpesan kepada kerajaan negeri untuk membina satu lebaran baharu dalam bekerjasama dengan kerajaan pusat," titah baginda.

Baginda juga mahu supaya perbezaan ideologi politik tidak dijadikan sebagai batu penghalang kepada kemakmuran kerajaan negeri, jalinan hubungan yang erat dan permuafakatan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat seharusnya diberi perhatian khusus

"Nasihat saya carilah titik persamaan terlebih dahulu dan selanjutnya sebarang perbezaan ditangani dengan secara bijaksana lagi berhemah. Hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri amat ditagih bagi memastikan kelancaran pembangunan negeri Pahang," titah Tengku Abdullah.

Menyentuh tentang kelewatan pelantikan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang, Tengku Abdullah bertitah sebagai Pemangku Raja Pahang, baginda tidak boleh melakukan lantikan jawatan itu dan Exco sewenang-wenangnya.

"Tanggungjawab menteri besar dan Exco negeri adalah sangat besar dan ia menjadi amat penting dalam keadaan landskap politik negara pada ketika ini, oleh itu pemilihan mereka tidak boleh saya lakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek kemakmuran dan kelangsungan pembangunan negeri," titah baginda.

Abdullah juga merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan berharap Pahang juga mendapat perhatian sebagaimana negeri lain.

-- BERNAMA