Selesai masalah banjir, naik taraf pendidikan antara fokus Exco Selangor




File Bernama

SHAH ALAM, 16 Mei (Bernama) -- Menyelesaikan masalah banjir serta banjir kilat, menaik taraf sistem institusi pendidikan negeri dan pembangunan keluarga antara perancangan kerja lima anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baru dilantik menerusi portfolio masing-masing.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata penyelesaian masalah banjir, banjir kilat, cerun serta ban akan diutamakan walaupun ia melibatkan peruntukan yang besar.

"Namun disebabkan kerajaan persekutuan juga senada dengan kita, saya rasa kita akan mudah bekerjasama menyelesaikan isu ini. Selain itu, saya rancang untuk ketengahkan tenaga solar sebagai sumber tenaga alternatif dalam membangunkan negeri," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Bagi Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin, pengalaman 33 tahun dalam bidang pendidikan serta penglibatannya dalam badan bukan kerajaan dijadikan landasan untuk mengangkat bidang pendidikan negeri setaraf antarabangsa.

Seramai 10 Exco merangkumi tujuh muka baharu dilantik bagi membentuk kerajaan negeri Selangor dan mereka mengangkat sumpah menyimpan rahsia rasmi di hadapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini hari ini.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud pula berkata perancangannya selepas ini ialah menyambung gerak kerja Exco terdahulu namun akan lebih menekankan kepada pembangunan keluarga iaitu kemahiran keibubapaan.

Bagi Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha, beliau akan melihat semula isu sosial di perumahan bertingkat yang sering digembar-gemburkan dan langkah mengatasinya selain meneliti aspek pembandaran semula kawasan bandar.

Selain itu, dua lagi muka baharu yang turut diumumkan portfolio mereka ialah Ng Sze Han yang memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru serta Datuk Abdul Rashid Asari yang dilantik sebagai Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Tiga Exco yang dilantik semula dalam penggal baharu kerajaan negeri ialah Datuk Teng Chang Khim selaku Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana; Amirudin Shari mengetuai Jawatankuasa Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi; dan V. Ganabatirau iaitu Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosioekonomi dan Kerajaan Prihatin.

Mohamed Azmin pula memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor dan Komunikasi Strategik.

-- BERNAMA