Pelaburan perlu beri limpahan ekonomi kepada rakyat - exco Melaka
MELAKA, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka di bawah Pakatan Harapan (PH) akan memastikan pelaburan asing dan tempatan yang dibawa masuk ke negeri ini akan memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, justeru kerajaan negeri akan merancang penjanaan ekonomi secara inklusif bagi memastikan ekonomi negeri dapat ditingkatkan selaras dengan taraf hidup rakyat.
"Kita hanya bercakap mengenai statistik pelaburan tertinggi dan (kawasan) perindustrian yang banyak, namun apa yang perlu dititikberatkan adalah bagaimana rakyat akan menerima faedah daripada ketiga-tiga (pelaburan, perindustrian dan perdagangan) aspek ini."
"Jika sekadar menguntungkan sesetengah pihak, kita tidak akan benarkan berlaku, sebaliknya kita akan mencari alternatif yang dapat menjana pendapatan rakyat dalam berdepan dengan tekanan kos sara hidup tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau antara sepuluh Anggota Exco Kerajaan Negeri Melaka mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.
PH berjaya membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah apabila memperoleh 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang juga ADUN Bukit Katil mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11, Jumaat lepas.
Mohd Rafiq yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM berkata, pihaknya akan meneliti semula pelaburan asing yang dilihat merugikan diluluskan oleh kerajaan negeri terdahulu bagi memastikan pelaburan itu menguntungkan negeri ini.
"Pelaburan melibatkan penjualan tanah besar-besaran kepada pihak asing, tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan atau pun melibatkan pinjaman besar yang menambah hutang negeri, itu bukan pelaburan."
"Kita konsisten dengan manifesto PH untuk memastikan pelaburan itu seperti penanaman modal oleh pihak luar, yang mana bukan pinjaman yang hanya menambah beban kepada negeri dan juga rakyat," katanya.
Sementara itu, mengulas pelantikkan sebagai exco, Anggota Dewan Undangan Negeri Paya Rumput itu berkata, pelantikannya merupakan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap golongan anak muda dalam usaha memberi nafas baharu kepada agenda kemajuan negeri ini.
"Saya akan memberi penekanan terhadap bidang yang dilihat berpotensi meningkatkan ekonomi belia, terutama yang tinggal di luar bandar melalui galakan terhadap penerokaan bidang keusahawanan, memperkasa taraf pendidikan serta pembangunan sukan," katanya.
-- BERNAMA