10 anggota jemaah Menteri Sabah angkat sumpah




KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk dua ADUN dilantik, hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah yang baharu di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dalam istiadat berlangsung di Istana Negeri, di sini.

Mendahului istiadat angkat sumpah itu ialah ADUN Api-Api Christina Liew yang juga pengerusi PKR Sabah diikuti ADUN Sulabayan Datuk Jaujan Sambakong merangkap naib presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).

Turut mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah ialah ADUN Melalap Datuk Peter Anthony yang juga naib presiden Warisan dan seorang lagi naib presiden Warisan iaitu Junz Wong selaku ADUN Tanjung Aru.

Empat lagi yang mengangkat sumpah ialah ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob; ADUN Kadamaian Ewon Benedict; ADUN Pantai Manis Datuk Aidi Mokhtar dan ADUN Tanjung Papat Poon Ming Fung.

Sementara itu, dua ADUN dilantik, masing-masing Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Anggota Parlimen Tuaran dan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong selaku Anggota Parlimen Sandakan turut mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah.

Dalam pada itu, ADUN Sebatik Datuk Abdul Muis Picho; ADUN Sri Tanjung Jimmy Wong; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang dan ADUN Moyog Jennifer Lasimbang merupakan antara 18 ADUN dilantik sebagai pembantu menteri.

Kesemua anggota jemaah menteri dan pembantu menteri Sabah terbabit menandatangani watikah pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum.

Turut hadir pada istiadat itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Hajah Norlidah R.M Jasni dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib.

-- BERNAMA